DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan terus menggunakan pendekatan melonggarkan sekatan atau prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes Covid-19 menurun dan dapat dikawal.
Pada masa sama, Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata jika kes meningkat semula, SOP akan diketatkan melalui pelaksanaan PKP mahupun PKP Diperketatkan (PKPD).
Sehubungan itu, katanya, apa yang penting adalah disiplin diri dalam setiap rakyat iaitu bagaimana kawalan kendiri untuk memastikan tiada jangkitan dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.
“Kalau lengkungan kes terkawal, kita akan longgarkan SOP, seperti sebelum ini kita longgarkan kepada PKP Bersyarat (PKPB), selepas itu PKP Pemulihan (PKPP).
“Yang penting kawalan kendiri, kalau kes naik balik, kita akan tutup (ketatkan SOP) semula, kes turun kita buka.. buka tutup akan berterusan.
“Tapi apa yang dibuat ini adalah nak pastikan kawalan ini berjaya dan ia bukan tanggungjawab kerajaan saja, tapi semua pihak termasuk rakyat,” katanya. – Malaysiapost

