Polis rampas telefon Syed Saddiq

0
2

POLIS merampas telefon bimbit milik Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.

Presiden parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), memaklumkan ia susulan isu video yang dimuatnaik di laman Instagram pada bulan lalu berhubung kematian peniaga susu, A Ganapathy.

Menurutnya, polis merampas telefon bimbitnya atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tadi saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan siasatan ke atas saya berhubung satu hantaran di Instagram di mana saya membela keluarga, A Ganapathy bulan lalu

“Polis atas arahan SKMM telah merampas telefon dan akaun (Instagram) saya dan saya serahkan berikutan arahan rampasan itu,” katanya dalam sidang media selepas hampir dua jam memberi keterangan di IPD Dang Wangi hari ini.

Menurutnya, dia turut disiasat mengikut Seksyen 503B Kanun Keseksaan susulan isu video berkenaan.

“Saya ingin maklumkan bahawa saya rasa tidak salah sebagai Ahli Parlimen yang bertanggungjawab ke atas rakyat berbilang bangsa dan agama untuk menjadi institusi semak imbang bagi kerajaan sedia ada untuk mendesak supaya pelaksanaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dalam isu berkenaan.

“Video itu mesej utamanya adalah bagi IPCMC dilaksanakan. Namun saya faham ini tanggungjawab polis dan saya memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Bagaimanapun, sepatutnya fokus siasatan adalah berkaitan isu kematian membabitkan tahanan polis yang agak serius dan bukan terhadap saya atau lain-lain pihak yang mendesak penubuhan IPCMC,” katanya.

Ganapathy dilaporkan meninggal dunia pada 18 April lalu, selepas dimasukkan ke Hospital Selayang dari IPD Gombak pada 8 Mac.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dalam satu kenyataan semalam memaklumkan hasil bedah siasat dilakukan oleh Pakar Perunding Kanan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) di Institut Perubatan Forensik Negara, HKL Khamis lalu mendapati Ganapathy meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa dengan disaksikan ahli keluarga mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here