Seorang penganggur bertindak memecahkan pintu Istana Negeri Sabah di Kota Kinabalu kerana mendakwa mendapat hidayah bagi mengambil alih jawatan Yang di-Pertua Negeri Sabah pada awal tahun ini.
Pengakuan itu dibuat Rio Fazzley Rahmat, 33, apabila didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini, lapor Bernama.
Tertuduh yang didakwa menceroboh Istana Negeri dan memecahkan lima pintu mengaku bersalah atas tuduhan melakukan khianat dengan memecahkan pintu berkenaan pada jam 1 tengah hari 21 Januari lalu.
Rio Fazzley bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh kerana mendakwa mempunyai pas pelawat dikeluarkan pihak keselamatan istana.
Pada prosiding itu, Majistret Jessica Ombou Kakayun bertanya kepada tertuduh mengapa dirinya menceroboh istana yang dijawab Rio Fazzley supaya boleh menjadi Yang di-Pertua Negeri, setelah mendapat “hidayah” memecahkan pintu istana.
Pada waktu itu, Rio mengangkat sebuah beg plastik berisi ubat-ubatan untuk menunjukkan kepada mahkamah bahawa dia sedang menerima rawatan di sebuah hospital sakit jiwa di Kota Kinabalu.
Pihak peendakwaan menyangkal dakwaan itu dengan mengemukakan laporan dari hospital terbabit yang menyatakan bahawa tertuduh layak dibicarakan.
Jessica Ombou menangguhkan kes itu dan menetapkan 21 Jun sebagai sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh mendapat khidmat peguam.
Beliau turut menetapkan ikat jamin RM1,000 dengan dua penjamin bagi setiap pertuduhan.-Malaysiapost

