MESKIPUN sedang menjadi buruan pihak berkuasa, Muhammad Nur Sajjad Kamaruzzaman sempat menitipkan rasa simpati kepada Neelofa.
Menerusi satu hantaran dimuat naik dalam InstaStory miliknya, usahawan kosmetik yang lebih dikenali dengan panggilan Nur Sajat tampil menzahirkan sokongan terhadap Neelofa yang berterusan dilanda kontroversi.
Nur Sajat menyifatkan Neelofa sebagai seorang wanita yang baik dan kuat walaupun berdepan dengan pelbagai kecaman oleh masyarakat.
“Neelofa, wanita yang kuat walaupun banyak orang yang kecam beliau. Biasanya orang yang bersinar ini pastinya ramai yang dengki,” tulisnya dalam Instagram.
Menurut Nur Sajat, dia tidak pernah melihat Neelofa mengata atau bercakap tentang keburukan orang lain.
Dalam perkongsian tersebut, dia turut mengenang saat dirinya mengikuti seorang rakannya yang juga merupakan seorang jurusolek artis ketika menata rias wajah bekas pemenang Dewi Remaja 2010 itu.
“Sis (Neelofa). Kami akan sentiasa memberi sokongan terhadap awak. Hidup Neelofa,” tulis Nur Sajat.
Semalam, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan Haris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seremban atas tiga pertuduhan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Neelofa dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 atas satu pertuduhan gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera.
Muhammad Haris pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam. Kes akan disebut semula pada 4 Jun depan.
Sementara itu, Nur Sajat sehingga kini gagal dikesan walaupun waran tangkap ke atasnya telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sejak 23 Februari lalu selepas diburu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). – Malaysiapost

