Seramai 13 peniaga disaman kerana tidak menyediakan QR kod MySejahtera dan pengimbas suhu di pasar pagi Jalan Margosa, Petaling Jaya, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata dalam operasi jam 7 pagi itu turut disaman dua pengunjung kerana tidak mengimbas QR kod MySejahtera.
“Operasi yang turut membabitkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga sebanyak 30 saman terhadap peniaga yang tidak mempunyai lesen perniagaan.
“Kami juga menyita barangan milik seorang warga asing yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar orang ramai termasuk peniaga untuk terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang sedang dikuatkuasa. – Malaysiapost

