PENGERUSI Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan kerajaan Filipina tiada kuasa untuk menuntut Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah negara itu.
Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri menjelaskan Umno dan BN akan terus memperjuangkan autonomi Sabah dan memastikan kedaulatannya terus dipertahankan.
“Umno BN tetap memperjuangkan autonomi Sabah dan kerajaan Filipina tiada kuasa untuk memiliki negeri Sabah.
“Sabah ada kedaulatan dan kita akan mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia.
“Filipina tiada hak perundangan untuk menakluk Sabah sebagai negeri mereka yang ke-14,” katanya menerusi ciapan di Twitter beliau, malam tadi.
Kenyataan Bung Moktar itu dibuat susulan satu gambar peta Sabah tertera bendera Filipina dan `Region 14 Sabah’ yang tular dalam media sosial malam tadi.
Peta itu mengandungi nama kawasan dalam bahasa Filipina dengan kawasan utara disebut Sabah Del Norte, Central Sabah (tengah), Sabah Del Sur (selatan), Bagong Lupa (Sandakan) dan Kiram (Tawau).
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan turut meminta Presiden Filipina Rodrigo Duterte menghentikan provokasi terhadap Malaysia dengan memasukkan peta Sabah dalam pasport negara itu.
“Kepada Presiden Duterte, tolong hentikan provokasi terhadap Malaysia dengan memasukkan peta Sabah dalam pasport Filipina,” katanya.
Sebelum ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah dalam pasport negara itu.
Tindakan itu dianggap satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya ke atas Sabah. – Malaysiapost

