MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) menyita palang penghadang dalam operasi berasingan di Jalan Samudera 7 dan Jalan Samudera 9 di Taman Samudera Utara serta Jalan Wangsa 1/1 di Taman Wangsa Permai dekat Gombak, semalam.
Difahamkan, palang penghadang tersebut digunakan bagi tujuan keselamatan komuniti di kawasan perumahan di lokasi terbabit.
MPS menerusi kenyataan memaklumkan operasi oleh anggota penguatkuasa dan keselamatan itu dijalankan kerana didapati tidak mematuhi skim komuniti berpengawal dan berpagar.
Turut serta dalam operasi itu ialah Jabatan Perancang Bandar dan Jabatan Kejuruteraan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Menurut MPS, operasi di Taman Samudera Utara dibuat selepas mendapati palang penghadang dirantai dan dikunci sehingga menghalang orang awam menggunakan jalan berkenaan, selain menyukarkan penduduk sekitar untuk keluar masuk.
“Semakan mendapati tiada sebarang permohonan dan kelulusan skim komuniti berpengawal dan berpagar yang diterima daripada pihak persatuan penduduk,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya.
Dalam operasi di Taman Wangsa Permai, MPS berkata tindakan diambil selepas mendapati kelulusan skim komuniti berpengawal dan berpagar telah tamat tempoh.
“Tindakan sitaan bagi kesalahan halangan di tempat awam dijalankan mengikut Seksyen 46 1(a) Akta 133.
“Semua persatuan penduduk di kawasan taman perumahan yang berhasrat membina palang penghadang jalan diingatkan sentiasa memastikan permohonan mematuhi syarat skim komuniti berpengawal dan berpagar yang ditetapkan MPS,” katanya. – Malaysiapost

