PERGERAKAN Wirawati Putra Malaysia mendesak agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua kementerian yang terlibat dalam projek rundingan terus seperti didedahkan Kementerian Kewangan, disiasat sehingga ke akar umbi.
Ketuanya, Dr Asmah Razalli berkata ia bagi memberi penjelasan kepada rakyat dan memperbetulkan segala salah laku jika ia benar-benar terjadi.
Katanya, isu projek runding terus melibatkan beberapa Kementerian termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) apabila menterinya mendakwa tidak tahu mengenainya, amatlah mengecewakan jika terdapat unsur rasuah.
“Projek yang bernilai tertentu didakwa ditambah nilai dan sebagainya tidak menggambarkan ketelusan dalam pentadbiran dan sewajarnya disiasat secara terperinci sehingga ke akar umbi.
“Paling mengejutkan apabila menteri KPKT sendiri memberitahu tidak tahu mengenai projek rundingan terus itu, jadi siapalah dalang di sebalik pemberian projek di sesebuah kementerian sehingga begitu berkuasa melangkaui kuasa menteri menteri.
“Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menggesa siasatan ke akar umbi dalam tempoh 14 hari didedahkan secara jelas kepada rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Semalam, Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin menafikan beliau terlibat dalam dua projek rundingan terus semasa mengetuai kementerian itu di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Zuraida berkata, dua projek yang diluluskan kepada KPKT semasa beliau menjawat tugas sebagai menteri dalam pentadbiran terdahulu dibuat di luar pengetahuannya.
Berdasarkan lampiran dikeluarkan Kementerian Kewangan kelmarin, dua projek rundingan terus membabitkan KPKT adalah bernilai RM170.79 juta.
Ia membabitkan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem kewangan dan perakaunan Saga kepada Century Software (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM501,206.37.
Satu lagi projek kepada Bumi Segar Indah Sdn Bhd bernilai lebih RM170 juta iaitu cadangan projek membina, mengoperasi dan menyelenggara stesen pemindahan sisa pepejal baharu di Taman Beringin, Jinjang Utara di Kepong bagi menggantikan pemindahan sistem pepejal sedia ada. – Malaysiapost

