AMAT wajar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.
Kenyataan itu hadir selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan Perikatan Nasional (PN) perlu mandat baharu bagi membentuk kerajaan lebih kukuh dengan mengadakan PRU dalam masa terdekat.
Annuar menerusi ciapan di Twitter berkata PRU sepatutnya diadakan tiga tahun lagi, namun jika perlu ia boleh diadakan tahun ini.
“…. Supaya rakyat berpeluang memperbetulkan segala kepincangan Pakatan Harapan (PH) sejak PRU14 yang merupakan igauan buruk buat rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim di Pekan Lama Sungkai, Perak malam tadi, Ahmad Zahid berkata sokongan hanya 113 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat meletakkan kedudukan PN tidak stabil serta terus dijaja sebagai kerajaan pintu belakang dan tebuk atap oleh pembangkang.
“Kita tidak ada pilihan melainkan memperoleh mandat baharu dari rakyat untuk elak tuduhan berterusan.
“Maka kerajaan sekarang mesti mengembalikan hak memilih kerajaan dan kuasa rakyat mesti dikembalikan supaya rakyat boleh memilih semula.
“Maka untuk memilih semula, PRU15 jangkaan saya akan diadakan dalam waktu terdekat,” katanya. – Malaysiapost

