POLIS Kelantan mengesahkan dakwaan 200 penduduk di Kampung Pauh Lima di Kota Bharu yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) melarikan diri meninggalkan kawasan terbabit, adalah tidak benar.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata perkara itu tular sejak semalam melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, hasil siasatan mendapati dakwaan mengatakan penduduk meninggalkan kawasan berkenaan bagi mengelak daripada menjalani ujian Covid-19 adalah palsu.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu dan sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat atau diragui kesahihannya.
“Individu yang menyebar berita palsu boleh diambil tindakan mengikut Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shafien turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita tanpa merujuk kesahihannya daripada pihak bertanggungjawab.
Menerusi laporan media sebelum ini, pelaksanaan PKPD di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, bermula 19 Mei sehingga 1 Jun membabitkan 1,032 penduduk.
Susulan pelaksanaan PKPD, sebanyak 10 sekatan jalan raya (SJR) dilakukan masing-masing enam di Bachok dan empat di Kota Bharu. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB

