PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur selepas Israel dan Hamas mengumumkan gencatan senjata tanpa syarat, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata beliau berharap genjatan senjata itu dipatuhi rejim Zionis sekali gus mengakhiri penindasan dan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
“Setinggi-tinggi syukur kepada Allah. Syukur Alhamdulillah. Rejim zionis Israel dilaporkan bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat.
“Selepas lebih 232 penduduk Palestin termasuk 65 kanak-kanak terkorban dan 1,900 tercedera. Manakala 120,000 kehilangan tempat tinggal dalam tempoh 11 hari kekejaman tentera rejim zionis,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, perkembangan genjatan senjata itu timbul selepas serangan balas roket dari Gaza dilaporkan kian meningkat.
“Apa pun kita berharap gencatan senjata itu akan dipatuhi sepenuhnya oleh rejim zionis Israel. Sekali gus mengakhiri penderitaan dan kezaliman yang dialami penduduk Palestin.
“Kita terus berdoa Allah S.W.T melindungi keselamatan saudara-saudara kita di Palestin,” katanya.
Hari ini, Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata semalam, dalam usaha mengakhiri pertempuran ganas 11 hari.
Menurut kenyataan pejabat Presiden Israel, Benjamin Netanyahu, Kabinet keselamatannya ‘dengan sebulat suara’ menerima cadangan yang dibuat atas inisiatif Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat.
Kumpulan Hamas dan Islamic Jihad turut mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuatkuasa bermula jam 2 pagi hari ini (waktu tempatan).
Kenyataan pihak Israel tidak memaklumkan bila gencatan senjata akan bermula. – Malaysiapost

