Tun M gesa negara Islam henti jual minyak pada Israel

0
2

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkongsi pentas bagi menyatakan sokongan terhadap Palestin yang ditindas Israel.

Dr Mahathir menyuarakan cadangan menggesa negara-negara Islam yang kaya dengan minyak menekan Israel dengan tidak menyalurkan komoditi itu kepada mereka.

“Kalau kita tak beri minyak, mereka tak boleh buat apa-apa. Ini boleh kita lakukan secara halus sehingga mereka tak dapat buat apa-apa kepada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Dialog Tiga Penjuru: Di Sebalik Senyuman Hamza di Astro Awani, malam tadi.

Selain Dr Mahathir dan Abdul Hadi, Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi Al-Akiti turut mengambil bahagian sebagai ahli panel dalam forum terbabit.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, menegur sikap umat Islam yang menurutnya masih berpecah belah.

“Dan mungkin musuh-musuh kita menggunakan kejahilan kita sendiri untuk menimbulkan masalah.

“Kekacauan di negeri sendiri hanya akan mengundang perang proksi, musuh datang negeri kita. Bukannya kita lawan musuh utama, tapi lawan sama sendiri,” katanya.

Terdahulu, Israel dan dua kumpulan pejuang utama di Gaza mengumumkan gencatan senjata, dalam usaha mengakhiri pertempuran ganas 11 hari.

Menurut kenyataan pejabat Presiden Israel, Benjamin Netanyahu, Kabinet keselamatannya ‘dengan sebulat suara’ menerima cadangan yang dibuat atas inisiatif Mesir bagi gencatan senjata tanpa syarat.

Kumpulan Hamas dan Islamic Jihad turut mengesahkan gencatan senjata itu dalam satu kenyataan, dengan memaklumkan ia berkuatkuasa bermula jam 2 pagi hari ini (waktu tempatan). – Malaysipost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here