PILIHAN Raya Kecil (PRK) Slim esok amat penting untuk penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menunjukkan kepada kerajaan dan Malaysia bahawa rakyat tidak suka cara politik wang yang ada sekarang, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Di PRK Slim bukan nak tukar kerajaan, tapi PRK ini kita nak hapuskan sistem sogokan dan rasuah,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam ceramah perdana di Pusat Industri Ringan Trolak Utara, malam tadi.
Beliau hadir berkempen untuk calon bebas mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Dr Mahathir yang menubuhkan Pejuang turut memberi jaminan pemimpin parti baharu itu tidak akan melompat ke parti lain atau boleh dibeli sesiapa.
Beliau berkata, ia berbeza dengan beberapa peristiwa dalam politik negara kebelakangan ini khususnya di Sabah.
“Baru-baru ini kita lihat di Sabah apabila diperintah oleh parti Warisan yang bersekutu dengan kita.
“Dia (Muhyiddin) nak jatuhkan parti Warisan ini bukan dengan hujah, bukan dengan memberitahu parti Warisan itu tidak baik, tetapi dengan membeli 13 wakil rakyat yang ada dalam Warisan.
“Ini cara Muhyiddin dapat sokongan. Saya terkejut dengar ada yang dibayar RM32 juta cuma untuk keluar daripada Warisan. Ada juga yang dapat RM5 juta.
“Kami parti Pejuang kami semua berjanji tidak ada penjualan,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Bekas Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau percaya Amir Khusyairi tidak akan berbuat demikian.
“Apabila saya panggil, tanya dia, nak jual atau tidak… dia kata tidak dijual,” katanya.
PRK Slim menyaksikan saingan tiga penjuru antara Amir Khusyairi yang menggunakan lambang pokok bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz dan calon bebas simbol buku, Santhara Sekaran Subramaniam. – Malaysiapost

