Kukuhkan PKP berasaskan fakta bukan sembrono – Dr Musa Nordin

0
2

Nilam Oshman

Perkukuhkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berasaskan fakta bukan sembrono sahaja, iaitu dengan mengenalpasti sektor, lokasi, aktiviti di mana penularan Covid-19 berlaku.

Demikian salah satu cadangan yang dinyatakan oleh Perunding Pediatrik & Perubatan Hospital Pakar KPJ Damansara, Datuk Dr. Musa Nordin.

Jelasnya, wabak Covid-19 ini merebak melalui udara justeru pihak bertanggungjawab perlu memastikan ventilasi di bangunan dan tempat yang sesak sentiasa dalam keadaan baik.

Beliau turut mencadangkan ujian saringan Covid-19 disediakan secara percuma, bersasar dan massa agar kontak rapat dapat di kenal pasti dan dikuarantin secepat mungkin.

“Selain itu, gunakan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) bukannya kaedah Tindak Balas Rantai Polimer (PCR), kerana ianya murah dan keputusan mengambil masa dalam 30 minit saja.

“Jangan melambatkan Isolasi, Kuarantin dan kesan Kontak serta Rawatan dengan mengulangi ujian PCR, kerana ia hanyalah membebankan HCW (Health Care Workers) serta menambah kos dan kertas kerja,” katanya kepada Malaysiapost.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi pengurusan Covid-19 di kalangan komuniti perlu menggunakan alat digital.

“Ia adalah alat automatik jadi dapat memudahkan bagi mengesan kontak, serta mencepatkan proses kuarantin, dalam masa menghentikan kerja kertas dan tidak bebankan HCW.

“Di samping itu, dapatkan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Garis Panduan untuk memantau pesakit risiko rendah di rumah (Selangkah & COSMOS Home Monitoring alat Digital) dan benarkan mereka membebaskan pesakit (Release Order).

“Serta optimalkan penggunaan Pusat Risiko Rendah di MAEPS, hanya untuk mereka yang tidak boleh kuarantin di rumah diletakkan di sana. Jangan salah guna!,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga perlu kembangkan sumber katil Covid-19 dengan mengintegrasi sektor awam, swasta dan juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“KKM tidak tegas, tidak jelas dan amat perlahan didalam mengoperasikan tindakan ini. Gunakan kuasa dengan bijaksana dan bertanggungjawab!

“Malah, bagi imunisasi untuk jangka masa pendek perlu diberikan keutamaan kepada negeri dan sektor yang paling teruk, gunakan sumber dari swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tentera untuk mencari mereka.

“Selain itu, lakukan imunisasi dengan satu dos sahaja, disebabkan kekurangan dos, jadi utamakan setiap orang satu dos berbanding seorang dengan dua dos dan lambatkan dos kedua bagi vaksin Covid-19,” katanya lagi.

Beliau berkata, komunikasi juga penting bagi memaklumkan berkenaan risiko wabak tersebut untuk mendidik dan memperkasakan rakyat.

“Jangan asyik menyalahkan saja. Rakyat adalah rakan kongsi dan solusi bersama. Mereka bukan semata-mata masalah. Perkasakan rakyat untuk melakukan penilaian risiko peribadi (self-risk assessment).

“Justeru, kerajaan perlukan merancang sosio-ekonomi untuk keluar dari pandemik secara selamat dan teratur.

“PKP tidak akan menamatkan pandemik ini. Rancang untuk masa depan di mana kita hidup (co-exist) dengan virus secara damai, ianya dibendung dengan baik melalui kaedah yang berasaskan fakta dan epidemiologi semasa,” ujarnya.

Beliau turut meminta kerajaan memberikan satu jalan penyelesaian komprehensif kepada rakyat sebelum melaksanakan PKP.

“Keluarga, perniagaan dan industri mesti diberi peta jalan yang komprehensif terhadap apa tindakan yang perlu mereka ambil, apa rancangan yang perlu mereka fikirkan dan kesemua anjuran ini mesti diberi secara berterusan, berkala dan dengan tempoh masa yang munasabah iaitu bukan secara spontan dan melulu,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here