PBS setia bersama GRS, sokong kepimpinan Hajiji

0
2

PARTI Bersatu Sabah (PBS) memberi jaminan akan terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, bekata tidak ada sebab PBS menggugat keutuhan dan perpaduan dalam GRS, serta parti itu komited berkerjasama dalam pelaksanaan pembangunan dan strategi Sabah Maju Jaya.

“Semasa kunjungan hormat (semalam), kami telah menyentuh banyak isu mengenai GRS, hal-hal kerajaan negeri dan pentadbiran, terutama mengenai Covid-19 dan ekonomi.

“Kami turut meyakinkan Hajiji bahawa PBS sentiasa memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri, manakala jentera parti sedang giat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam pelaksanaan pembangunan dan strategi Sabah Maju Jaya,” katanya dalam kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu menjelaskan bahawa kenyataannya baru-baru ini telah disalahtafsir oleh beberapa pihak.

“Malahan ada yang sengaja memutarbelit fakta untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat.

“Tujuan saya sebenarnya adalah untuk menyatakan keterbukaan PBS terhadap parti pembangkang, termasuklah Warisan, untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mencapai pembangunan bersama demi kebaikan Sabah dan rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata, kenyataannya itu tidak lebih dari sekadar menyatakan keterbukaan untuk bekerjasama memandangkan Warisan terlebih dahulu menyatakan hasrat untuk menjalin persahabatan.

“Presiden Warisan, (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) telah menyatakan hasrat beliau pada Ramadan, iaitu bulan untuk merapatkan hubungan persahabatan. Jadi wajarlah bagi PBS untuk memberikan isyarat yang serupa demi mengukuhkan hubungan politik,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, hanya melalui kerjasama, persahabatan politik dan sokongan negara ini dapat dibangunkan sepenuhnya.

“Tapi ini tidak bermaksud kita harus membentuk satu gabungan, atau pakatan. Hasrat PBS adalah untuk mengeratkan silaturahim dan kerjasama dengan Warisan di peringkat Perikatan Nasional.

“Sebagai Presiden PBS, saya menghulurkan jemputan kepada Parti Warisan untuk mempertimbangkan kerjasama politik dengan PN, sama ada sebagai ahli atau rakan kongsi.

“Dan kami (PBS) amat berbesar hati menjadi penaja kepada Warisan untuk menjadi sebahagian daripada gabungan PN. Marilah bekerjasama dengan kami di bawah PN,” katanya.

Beliau berkata, sememangnya untuk membentuk pakatan baru atau idea gabungan adalah satu perkara yang sukar bagi PBS dan Warisan.

“Ini kerana kami mempunyai identiti dan peranan politik yang berbeza. Sejak penubuhan parti 36 tahun lalu, PBS kini sudah sinonim dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), keselamatan rakyat dan kebanjiran pendatang tanpa izin.

“Kita mampu bekerjasama demi memperjuangkan matlamat mulia ini, di samping memperkukuhkan objektif PN. Saya yakin Warisan juga boleh memainkan peranan dan menyumbang kepada pencapaian aspirasi nasional ini,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here