
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menggalakkan orang ramai memakai pelitup muka dua lapis atau ‘double mask’ bagi meminimumkan risiko dijangkiti Covid-19.
Beliau berkata, amalan itu digalakkan berdasarkan eksperimen yang sudah dilaksanakan Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).
Katanya, hasil eksperimen itu, dilihat memperkemaskan pemakaian pelitup muka perubatan menggunakan pelitup muka kain di lapisan kedua mengurangkan lagi risiko pemakai kepada pendedahan virus.
“Eksperimen itu memberikan penekanan tentang pentingnya kekemasan pemakaian pelitup muka dalam meningkatkan keupayaan fungsinya.
“Dalam ujian makmal CDC itu, pendedahan kepada aerosol yang berpotensi menular, boleh menurun sekitar 95 peratus apabila subjek memakai pelitup muka yang dipasang dengan ketat.
“Jika saya ke hospital.. ‘double mask’ membantu dan petugas kesihatan juga memakai pelindung muka. Amalan ini adalah digalakkan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Gambar beliau memakai ‘double mask’ tular dan menjadi perbualan di media sosial oleh warganet. – Malaysiapost
