KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik digantung sementara bermula 4 Mei lalu.
Unit Komunikasi Korporat MOTAC, berkata keputusan itu dibuat susulan kes individu dalam rombongan pelancong dari Alor Setar ke pusat peranginan Genting Highlands, didapati positif Covid-19 .
MOTAC berkata, pihaknya telah menjalankan siasatan awal untuk mengenal pasti situasi sebenar berhubung laporan berita yang disiarkan media mengenai ‘Pelancong positif Covid-19 selepas pulang dari Genting Highlands’.
Kementerian itu berkata, hasil maklumat mendapati bahawa sebuah syarikat pelancongan yang berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah menganjurkan rombongan ke Genting Highlands yang melibatkan pelancong dari Alor Setar, Kedah.
“Sebanyak dua buah bas digunakan pada 22 April 2021 untuk ke lokasi dan pulang pada 24 April 2021 mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik.
“Justeru, siasatan mendapati, selepas kembali dari Genting Highlands terdapat penumpang yang mengalami gejala demam dan telah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pada 7 Mei lalu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan 16 individu disahkan positif daripada saringan yang dilakukan ke atas 28 orang dari kumpulan pelancong tersebut.
Bagaimanapun, katanya, pengesanan kontak rapat masih diteruskan oleh Jabatan Kesihatan Alor Setar.
“Hasil siasatan MOTAC juga mendapati syarikat penganjur telah mematuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan dalam SOP Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik bagi urusan perjalanan yang dianjurkan.
“KKM dan PDRM juga telah menghubungi syarikat terbabit untuk siasatan lanjut dan pihak syarikat telah memberi kerjasama dengan menyerahkan semua dokumen-dokumen perjalanan, permit, lessen TOBTAB dari MOTAC serta lain – lain dokumen yang diperlukan.
“Namun, sumber asal kontak Covid-19 yang berkaitan dengan kes ini masih belum dapat dikenal pasti dan pihak KKM sedang menjalankan proses siasatan,” jelasnya.
Sementara itu, menurut kenyataan itu, Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukry, turut mengingatkan semua agensi pengendali pelancong serta kenderaan pelancongan agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan semasa mengendalikan aktiviti pelancongan.
“Ini bagi memastikan supaya aktiviti pelancongan yang dilaksanakan mendapat perlindungan yang maksimum agar keselamatan pelancong serta pengusaha industri pelancongan itu sendiri dapat dipelihara.
“Orang ramai diingatkan supaya menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan dan syarikat kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC sahaja bagi memastikan perkhidmatan yang diperolehi adalah yang terbaik dan selamat,” katanya. – Malaysiapost

