SERAMAI 30 bomoh di Indonesia dalam misi menyerang Israel untuk membantu Palestin dengan menggunakan sihir dan roket ghaib.
Menerusi satu video berdurasi 22 minit yang dimuat naik di akaun YouTube milik Kang Ujang Busthomi menunjukkan sekumpulan bomoh itu melakukan ritual menghantar sihir dan roket ghaib kepada Israel.
Beliau yang juga merupakan seorang pendakwah bebas di negara itu memaklumkan bahawa dia menerima undangan daripada sekumpulan bomoh itu dan baru-baru ini berkesempatan untuk melihat ritual mereka yang bertujuan membantu Palestin.
Dalam video itu, bomoh berkenaan memberitahu bahawa roket tersebut mengambil masa selama dua hari untuk sampai ke Israel.
Tambah kumpulan bomoh itu lagi, mereka turut menyediakan jin untuk menjaga Palestin daripada dibedil oleh roket Israel.
Video tersebut menjadi tular di media sosial dan rata-rata netizen yang menontonnya meninggalkan komen-komen yang lucu.
“Ambil masa dua hari untuk sampai? Ambil yang ekspres ya?,” tulis seorang netizen.
“Nanti kalau sudah sampai di Israel beritahu saya ya,” tulis seorang lagi netizen.
Video tersebut sudah ditonton hampir 12,000 kali dengan mendapat hampir 200 komen. – Malaysiapost

