MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali dilaporkan selesai diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, malam tadi.
Ia berkaitan kegagalan beliau menjalani kuarantin wajib 14 hari setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.
Laporan Berita Harian menyebut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dikatakan memberi keterangan bermula jam 8 malam.
Beliau dipercayai selesai memberi keterangan sekitar jam 10.20 malam selepas kenderaan rasminya yang diletakkan berhampiran Masjid Bukit Aman telah tiada.
Khairuddin sebelum itu dilaporkan masuk ke Bukit Aman menggunakan kenderaan lain.
Terdahulu, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan Khairuddin diambil keterangan di Bukit Aman.
Baru-baru ini, polis membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin selepas menerima 27 laporan dari seluruh negara.
Beliau juga telah dikompaun RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia atas kesalahan ingkar perintah kuarantin. – Malaysiapost

