Polis Sarawak tahan 2 individu cetus kemarahan isu Palestin, Israel

0
2

POLIS Sarawak tidak akan teratak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu atau mana-mana pihak yang menjejaskan ketenteraman awam susulan perdebatan isu konflik antara Palestin dan Israel di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail, berkata pihaknya mendapati berlaku perdebatan berkaitan isu konflik ketenteraan antara Palestin dan Israel melalui media sosial yang boleh menimbulkan situasi tidak harmoni dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.

“Ekoran konflik itu, orang ramai mula menyatakan pendapat masing-masing dengan pelbagai cara terutamanya melalui media sosial.

“Melalui pemantauan polis, terdapat beberapa komen yang dibuat didapati menyentuh isu sensitif seperti isu agama, bangsa dan keturunan orang lain sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya telah menahan dan menjalankan siasatan terhadap dua individu yang dipercayai mencetuskan kemarahan orang lain dengan komen-komen di media sosial.
Beliau berkata, hasil siasatan berhubung kes itu akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati semasa memberi pendapat atau komen berkaitan konflik ketenteraan itu dan tidak menjadikan media sosial sebagai platform melepaskan kemarahan atau rasa tidak puas hati hingga menyinggung perasaan dan sensitiviti orang lain kerana ia adalah kesalahan mengikut undang-undang terutamanya Kanun Keseksaan, Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Juga dinasihatkan agar peka terhadap perkara yang berlaku dan jangan mudah terpengaruh dengan apa sahaja maklumat diterima. Pastikan kesahihan berita sebelum berkongsi dan tidak mengambil tindakan sendiri hingga menyebabkan keadaan bertambah buruk dan menjejaskan ketenteraman awam,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here