Harap semua insaf dengan situasi Covid-19 ketika ini – Dr Noor Hisham

0
3
Petugas membawa alatan saringan Covid-19 di pekarangan Dewan Seri Siantan Sungai Tua hari ini.

MALAYSIA bukan sahaja mencatatkan jumlah kes harian baharu tertinggi hari ini sejak pandemik Covid-19 melanda iaitu sebanyak 6,075 kes, tetapi turut merekodkan jumlah kluster baharu harian tertinggi yang pernah dilaporkan iaitu sebanyak 22 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata secara kumulatif jumlah kes Covid-19 di Malaysia setakat ini adalah sebanyak 485,496 kes.

“Bilangan kes kritikal yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan pada hari ini juga adalah yang tertinggi setakat ini iaitu sebanyak 559 kes dengan 303 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Selain itu, kumulatif kes kematian seluruh negara pula telah mencecah lebih 2,000 kes kematian iaitu sebanyak 2,040 kes dengan 46 kes kematian dilaporkan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 46 kes kematian dari seluruh negara hari ini membabitkan 19 kes di Selangor, tujuh kes di Sarawak, enam kes di Johor, empat kes di Kelantan, masing-masing dua kes di Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Kedah, serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurutnya, kes sembuh yang dilaporkan hari ini adalah 3,516 kes menjadikan 436,116 kes kumulatif yang sembuh, manakala sebanyak 47,340 kes aktif.

“Diharapkan semua pihak mengambil maklum dengan keinsafan situasi yang melanda negara ini dan dapat bekerjasama dengan erat bagi sama-sama kita mengharungi detik sukar memerangi Covid-19 ini sebagai satu negara yang bersatu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here