MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini mendedahkan tawaran dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada Kerajaan Pulau Pinang adalah palsu.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), berkata perkara itu terbongkar selepas pihaknya menjalankan siasatan berhubung surat yang diterima Kerajaan Pulau Pinang berhubung sumbangan berkenaan.
“Siasatan mendapati bahawa tiada bukti atau dokumen telah diterima daripada wakil syarikat itu berhubung sumbangan dimaksudkan.
“Malah, individu di dalam surat itu juga menafikan sumbangan dimaksudkan oleh Kerajaan Pulau Pinang berkenaan,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Khairy berkata, siasatan pihaknya juga mendapati syarikat yang kononnya menawarkan sumbangan itu tidak wujud dan tawaran berkenaan juga dikenalpasti sebagai penipuan.
“Senang kata apa yang dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang konon dapat sumbangan dua juta dos vaksin itu adalah palsu dan tidak benar sama sekali.
“Malah, Sionovac sendiri mengakui tidak ada urusan serta rekod syarikat di Hong Kong mengenai perkara itu juga tidak wujud.
“Jadi macam mana Kerajaan Pulau Pinang boleh guna ‘scam’ ini untuk menuduh Kerjaaan Persekutuaan (halang) derma dua juta dos vaksin itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, kerajaan menerusi PICK sentiasa mengalu-alukan usaha mana-mana pihak atau kerajaan negeri untuk mendapatkan bekalan vaksin sendiri.
“Malah, saya juga sudah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Lim Guan Eng untuk bantu untuk penghantaran sekiranya benar ada tawaran (sumbangan vaksin).
“Sekali lagi saya tegaskan, kita mengalu-alukan sumbangan vaksin oleh mana-mana pihak kepada Malaysia atau kerajaan negeri. Namun ia perlulah mengikut syarat ditetapkan,” katanya.
Khairy berkata, ini kerana vaksin adalah barang kawalan yang memerlukan kelulusan serta pemeriksaan sebelum dibawa masuk.
Beliau berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Kon Yeow dan Guan Eng selain menasihatkan semua pihak supaya tidak menjadikan vaksin sebagai isu politik.
“Namun, kalau Kerajaan Pulau Pinang dapat buktikan derma ini sahih, saya akan bagi kebenaran serta-merta untuk mereka bawa masuk vaksin itu.
“Saya tidak mau mempolitikkan isu ini dan telah memberi kerjasama secara terbuka dan terbaik termasuk dengan kerajaan negeri lain seperti Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan lain-lain untuk bantu mereka beli vaksin,” katanya.
Semalam, Kon Yeow mendedahkan Pulau Pinang ditawarkan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma Februari lalu, tetapi tidak dapat menerimanya kerana dihalang Putrajaya.
Beliau berkata, kerajaan negeri menulis surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meminta kebenaran menggunakan vaksin itu, tetapi ditolak Putrajaya yang meminta Pulau Pinang menunggu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilancarkan.
“Jika kami dapat dua juta dos ini, ia akan diserahkan kepada KKM untuk diberikan kepada rakyat Pulau Pinang, Jika ada dos lebih, ia boleh diberikan kepada negeri lain,” katanya. – Malaysiapost

