Beri pampasan pada ibu hamil, menyusu terkesan vaksin AZ – Hannah Yeoh

0
2

AHLI Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa kerajaan memberi pampasan terhadap ibu mengandung yang terkesan selepas menerima suntikan vaksin vaksin Sinovac dan AstraZeneca (AZ).

Gesaan tersebut dibuat selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin lewat memaklumkan bahawa dua varian vaksin berkenaan tidak sesuai buat ibu hamil pada masa ini.

“Walaupun saya mengalu-alukan penjelasan ini memandangkan ketakutan dan kebimbangan mengenai vaksinasi Covid yang dikongsi oleh para ibu yang hamil dan yang sedang menyusu, namun pengumuman tersebut agak terlewat dan telah menimbulkan keresahan di kalangan para ibu yang telah pun menerima vaksinasi AstraZeneca (‘Ibu AZ’).

“Program sukarela AstraZeneca bermula pada 5 Mei 2021, iaitu hampir 2 minggu sebelum pengumuman ini dibuat oleh menteri Khairy. Kesan sampingan kepada ‘Ibu AZ’ dan bayi mereka masih belum dapat dilihat dan ini tidak boleh dipandang ringan.

“Oleh yang demikian, saya menggesa kerajaan untuk segera menggunakan Dana Kecederaan Vaksin Covid-19 oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melindungi “Ibu AZ” (yang telah menerima vaksinasi mereka dalam tempoh 5 – 17 Mei 2021),” katanya dalam satu kenyataan.

Hannah yang juga mantan timbalan menteri pembangunan wanita keluarga dan masyarakat menjelaskan berdasarkan jaminan itu, jumlah pampasan di antara RM50,000 hingga RM500,000 akan diberikan jika “Ibu AZ” ini mengalami kesan sampingan selepas vaksinasi.

Isnin lalu, Khairy dilaporkan berkata ibu mengandung dan menyusukan anak hanya disaran mengambil vaksin Covid-19 keluaran Pfizer.

Katanya, kedua-dua kumpulan itu tidak disarankan untuk menerima vaksin Sinovac dan AstraZeneca kerana data keberkesanan dan kesan sampingan membabitkan dua vaksin itu kepada kumpulan terbabit tidak mencukupi.

Sehubungan itu, katanya, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sudah diarah untuk mengatur dan menyelaras dengan hospital serta pusat pakar perubatan ibu dan kanak-kanak untuk mengutamakan pengagihan vaksin Pfizer kepada ibu mengandung.

“Berdasarkan nasihat pakar Kementerian Kesihatan (KKM), vaksin Pfizer sesuai untuk ibu mengandung dengan usia kandungan antara 14 hingga 33 minggu, atau disyorkan ditangguh sehingga selepas kehamilan,” kata Khairy.

Sementara itu, Hannah berharap ibu yang sedang menyusukan bayi juga layak menerima pampasan berkenaan jika terdapat kesan sampingan.

Hannah juga berharap kerajaan membuat tindakan susulan daripada aspek perubatan mengenai suntikan dos kedua mereka dan menyediakan arahan yang jelas di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Katanya, ia bagi memastikan ibu yang hamil dan ibu yang menyusu mengetahui risiko yang terlibat.

“Modus operandi pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ‘buat dulu, rancang kemudian’ mesti dihentikan.

“Mereka tidak boleh membuat pengumuman vaksinasi seperti mana cara mereka mengumumkan SOP yang flip-flop sebelum ini,” kata beliau. – Malaysiapost

Foto Kredit: @JKJAVMY/Twitter

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here