Covid-19: Penggunaan katil ICU di Lembah Klang cecah 125 peratus

0
3

KADAR penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pesakit Covid-19 di Lembah Kelang kini mencecah 125 peratus setakat semalam, kata Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, kadar keseluruhan penggunaan katil ICU pesakit Covid-19 di seluruh negara pula mencecah 74 peratus.

Manakala, katanya, di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, Sarawak, Negeri Sembilan mencatatkan penggunaan katil Covid-19 ICU melebihi 80 peratus.

“Hospital Covid-19 telah meningkatkan jumlah katil ICU yang diperuntukkan untuk pesakit Covid-19 dengan mengubah fungsi (repurpose) wad biasa. Bagaimanapun, ini juga mengurangkan peluang pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan kritikal yang diperlukan.

“Peningkatan kes-kes secara mendadak kebelakangan ini telah memberi tekanan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya di hantaran Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menggesa rakyat Malaysia untuk terus patuh berada di rumah jika tiada urusan penting di luar.

“Rakyat adalah barisan hadapan yang amat penting pada ketika ini dan diharap untuk terus patuh duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.

“Kita tiada pilihan lagi, kita mesti jaga kita!,” katanya.

Semalam sahaja Malaysia merekodkan sebanyak 4,865 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 479,421 kes.

Kes yang menerima rawatan di ICU sebanyak 531, manakala yang memerlukan bantuan alat pernafasan 277. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here