Moratorium automatik : Syarikat besar, jutawan bolehlah dikecuali

0
1

Nurul Huda Abhar

AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya melaksanakan moratorium automatik sehingga penghujung tahun ini.

Beliau berkata, ini kerana ramai yang masih tidak mempunyai pekerjaan baru setelah menganggur kerana Covid-19 dan dalam masa sama terdapat peniaga yang belum boleh beroperasi sepenuhnya.

“Ada yang baru menghidupkan semula perniagaan tetapi mengalami kerugian kerana pelaksanaan PKP 3.0 di saat terakhir.

“Justeru amat wajar moratorium automatik diberi hingga ke hujung tahun apatah lagi bank bank masih untung besar di waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini,

Bagaimanapun, Mohd Puad berkata, Gabenor Bank Negara (BNM), Datuk Nor Shamsiah Yunus tidak bersetuju moratorium automatik dilaksanakan.

Namun begitu, katanya kerajaan boleh memutuskan golongan mana yang layak ditawarkan moratorium automik di mana syarikat besar dan jutawan boleh dikecualikan.

“Jika tidak ada moratorium automatik, rakyat yang terjejas teruk akan berhadapan kerenah birokrasi bila berurusan sendiri dengan pihak bank.

“Malangnya, sejak Parlimen digantung rakyat yang terjejas ketiadaan saluran supaya nasib mereka terbela.

“Mereka kini hanya ada media sosial. Kalau bakar suar dan naikkan kain rentang ‘kerajaan gagal’ mereka mungkin ditangkap,” katanya.

Terdahulu, Pemuda Umno menerusi kenyataan mendesak kerajaan memanfaatkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk mengarahkan institusi kewangan memberikan moratorium secara automatik kepada kumpulan rakyat tertentu.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata pemberian moratarium itu juga tanpa mengenakan sebarang caj tambahan ataupun keuntungan terakru.

Katanya, apa fungsi Proklamasi Darurat jika tidak dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat, dan di mana fungsi Ordinan Darurat jika pihak tertentu dibiarkan mengambil kesempatan atas kesempitan rakyat.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju melaksanakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei ini sehingga 7 Jun depan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dalam masyarakat dan menghalang kenaikan kes secara mendadak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here