PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di sebuah rumah panjang dan sekolah kebangsaan di Mukah, Sarawak serta 13 kampung di Mukim Pelagat, Besut, Terengganu bermula Khamis ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata di Mukah pelaksanaan PKPD adalah membabitkan Rumah Panjang Wun Ak Ering dan Sekolah Kebangsaan Baker Kong, Bakerkong, Tanjung Manis.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di dua lokaliti berkenaan dengan lima kes positif telah direkodkan dalam tempoh empat hari hasil ujian saringan bergejala dan kontak rapat kes positif.
Katanya, PKPD Mukim Pelagat, Besut pula adalah membabitkan 13 kampung iaitu, Kampung Alor Selinsing, Kampung Bukit Yong, Kampung Tok Motong, Kampung Lak Lok Dalam, Kampung Lak Lok, Kampung Padang Landak, Kampung Padang Luas, Kampung Padang Luas Hilir, Kampung Padang Tapong, Kampung Paroh, Kampung Kubang Siam, Kampung Seberang Jerteh, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Seberang Jerteh dan RAKR Pelagat 1, 2 dan 3.
“Sehingga semalam, sebanyak 199 kes positif Covid-19 telah direkodkan di semua lokaliti ini selepas KKM melakukan 1,092 ujian saringan.
“KKM juga melaporkan berlaku peningkatan kes yang amat ketara dengan kadar positiviti tinggi serta kadar kebolehjangkitan yang amat tinggi di lokaliti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di rumah panjang dan sekolah di Mukah serta 13 kampung Mukim Pelagat, Besut, berkuat kuasa 20 Mei sehingga 2 Jun ini.
“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan menghadkan pergerakan penduduk dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 serta memudahkan KKM menjalankan ujian saringan secara besar-besaran dan bersasar dalam kalangan penduduk,” katanya. – Malaysiapost

