Varian Covid-19: Najib cadang tempoh kuarantin seragam masuk Malaysia

0
2
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melahirkan kebimbangan berkenaan tempoh kuarantin yang dikenakan terhadap pengembara luar negara ke Malaysia.

Menurutnya kebimbangan itu berdasarkan pelbagai varian Covid-19 telah menular di kebanyakan negara termasuklah varian dari India yang telah dikesan di 44 negara.

“Saya amat bimbang dengan kelonggaran tempoh kuarantin tujuh hari sahaja yang masih diberi kerajaan kepada negara-negara yang tidak ada dalam senarai 40 buah negara tersebut.

“Senarai 40 buah negara ini merangkumi negara-negara di mana varian B.1.351, varian B.1.1.7 dan varian UK B.1.1.7 telah dikesan.

“Namun saya baca WHO berkata bahawa varian India sahaja telah dikesan di 44 buah negara dalam dunia – iaitu sudah melebihi nombor 40 buah negara dalam senarai Malaysia,” katanya di Facebook, hari ini.

Justeru, Ahli Parlimen Pekan itu mencadang kepada kerajaan untuk melaksanakan penyeragaman tempoh kuarantin kepada 14 hari bagi mereka yang ingin memasuki Malaysia kecuali yang datang dari India.

“Walaupun terlambat empat bulan, kerajaan telah naikkan semula tempoh kuarantin wajib bagi pengembara dari 40 buah negara dari tujuh hari ke 14 hari pada 29 April lalu.

“Pelawat dari negara yang tidak dinamakan dalam senarai 40 buah negara tersebut pula masih hanya dikenakan kuarantin wajib selama tujuh hari sahaja.

“Jadi, saya percaya ianya lebih wajar untuk Malaysia mansuhkan senarai 40 buah negara tersebut untuk digantikan dengan perlaksanaan tempoh kuarantin 14 hari secara pukal bagi semua negara kecuali 21 hari bagi India,” katanya.

Tambah Najib, situasi Covid-19 di Malaysia yang kritikal ketika ini dan kerajaan tidak patut mengambil lagi risiko pada negara dan rakyat.

“Semalam KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengeluarkan kenyataan bahawa 66 kes varian Afrika Selatan dan 5 kes varian India sudahpun dikesan di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here