ORANG ramai tidak perlu risau terhadap sumbangan yang dihulurkan kepada rakyat Palestin kerana ianya 100 peratus sampai ke tangan rakyat negara itu.
Sekretariat gabungan NGO untuk rakyat Palestin dikenali sebagai Aid4Palestine memberi jaminan itu dan menegaskan, sumbangan rakyat Malaysia diserahkan 100 peratus tanpa diambil sebarang komisen oleh NGO di bawah naungan pihaknya.
Pengerusinya, Mohammad Khalil Abdul Hadi, berkata bagi mengelakkan syak wasangka yang boleh dimanipulasi oleh setengah pihak, satu jawatankuasa audit oleh akauntan bertauliah dilantik untuk memastikan ketelusan penyampaian sumbangan itu sampai kepada objektifnya.
“Hingga kini lebih 100 NGO yang bersetuju bersama bersolidariti dengan Palestin melalui Aid4Palestine.
“Kesemua sumbangan itu akan diserahkan terus kepada NGO yang berwibawa dan dipercayai di Palestin. Antaranya melalui Nadir An Nuri dan Cinta Gaza Malaysia yang sememangnya dikenali ramai dan banyak membantu membuat kerja amal di Palestin selain mereka sendiri bermastautin di sana,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohammad Khalil berkata, sumbangan itu akan difokuskan kepada tiga aspek utama iaitu pendidikan, kesihatan dan kebajikan rakyat Palestin.
Sebelum ini, kerajaan akan bekerjasama dengan NGO tempatan berhubung penghantaran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin bagi memastikan sumbangan derma yang terkumpul sampai kepada saluran yang betul.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, NGO tempatan memainkan peranan utama dalam memastikan sumbangan dan dana rakyat Palestin dapat disalurkan dengan sebaik mungkin. – Malaysiapost

