
Nurul Huda Abhar
AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan perlu telus dan mempunyai akauntabiliti dalam perang melawan Covid-19.
Beliau berkata, perkara itu penting kerana rakyat mahu maklumat yang tepat dan suara mereka perlu didengar.
Justeru, Mohd Puad menggesa Parlimen bersidang segera selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, membenarkan Parlimen untuk bersidang ketika darurat.
“Semalam ada 45 kematian. Iaitu 225 kematian sejak malam raya. Apakah Malaysia di tahap paling kritikal?
“Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas untuk jenazah yang meninggal dunia akibat Covid-19.
“Menurut KP (Ketua Pengarah) Kesihatan pula, penggunaan katil ICU (Unit Rawatan Rapi) untuk merawat pesakit Covid-19 telah mencecah 80 peratus di seluruh negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sementara itu, Mohd Puad menerusi hantaran berasingan juga bersetuju dengan titah Al-Sultan Abdullah yang menasihatkan rakyat agar berada di rumah dan jangan keluar jika tiada keperluan mendesak.
Beliau berkata, antara punca jumlah kes meningkat ialah ‘mobiliti dan densiti’, di mana banyak berlaku di kawasan bandar.
“Di bandar banyak shopping mall (pusat beli belah), pejabat dan pusat tumpuan. Kalau buat total lockdown maka mobiliti dan densiti (kepadatan) tidak akan berlaku.
“Selagi tempat-tempat itu dibuka termasuk kilang dan tapak pembinaan maka ia adalah punca mobiliti dan densiti.
“Nampaknya kerajaan masih gagal melakukan keseimbangan tepat antara ketegasan lawan Covid-19 dengan kepentingan ekonomi,” kata beliau.
Semalam, Malaysiapost melaporkan sebanyak 45 kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan, iaitu tertinggi di Malaysia setakat ini.
Terdahulu, jumlah kematian tertinggi dicatatkan pada 15 Mei lalu iaitu 44 kes. Jumlah keseluruhan kematian dalam negara kini meningkat kepada 1,947 kes, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Artikel berkaitan:
