SEORANG lelaki yang tular di media sosial memaparkan aksi ‘wheelie’ di jalan sekitar ibu negara pada hari raya pertama ditahan polis.
Difahamkan, lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan pernah digantung lesen memandu selama dua tahun, ditangkap dua kali dan dihukum kerja khidmat masyarakat.
Namun hukuman itu tidak menginsafkannya selain dikesan masih degil dengan mengulangi aksi berbahaya di jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, polis berjaya mengesan individu itu berdasarkan video tular memaparkan aksi lelaki itu menunggang motosikal secara merbahaya.
Zulkefly berkata, aksi bahaya itu telah dimuat naik melalui laman Instagram dan laman Tik Tok melalui satu akaun bernama ‘muhddanialsyafiq’ dengan tajuk ‘The Real Raya in Kuala Lumpur’.
Menurutnya, video berdurasi 0.28 minit tersebut dimuatnaik pada hari raya pertama dengan memaparkan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna cerah, berseluar gelap, memakai kopiah dan berselipar sedang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ secara merbahaya.
“Lelaki yang sama juga melakukan aksi wheelie di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk di Lebuhraya AKLEH.
“Bertindak ke atas laporan polis yang diterima, Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur yang diketuai oleh Inspektor Mohammad Solihi Shafie telah berjaya mengesan dan menahan suspek.
“Malahan motosikal jensi Yamaha RXZ yang disyaki digunakan suspek turut disita selain pakaian yang dipercayai digunakan dalam video itu turut dirampas untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, semalam
Zulkefly berkata, lelaki berkenaan telah ditahan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu secara melulu dan merbahaya.
Beliau berkata, hasil dari semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditangkap sebanyak dua kali atas kesalahan sama dan pernah dihukum di bawah Seksyen 79(2 ) APJ 1987 pada 2018 dan dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat selama 12 bulan.
Katanya, lesen memandu lelaki itu juga digantung selama dua tahun sejak tahun lepas.
“Individu yang berperanan sebagai perakam aksi itu dan memuatnaik dalam media sosial Instagram dan Twitter turut disiasat dan sedang diburu untuk diambil tindakan di bawah akta yang sama kerana bersubahat.
“Bagaimanapun suspek melakukan aksi merbahaya itu tidak insaf dan berani mengulangi perbuatan itu sehingga dicekup semula untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang polis yang ada.
“Polis ingin menasihati pengguna jalan raya agar mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas dan tidak merbahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.
Orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana- mana balai polis berhampiran. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

