Liwat 3.0: Ramesh Rao nafi jadi dalang

0
2

Fitri Nizam

PRESIDEN Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Ramesh Rao menafikan tuduhan menjadi dalang di sebalik kes liwat 3.0 membabitkan seorang pemimpin pembangkang baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau mendakwa didatangi individu bernama Aidil pada 24 Jun lalu yang mengakui manjadi mangsa liwat pemimpin berkenaan.

“Ketika ditemui, dia (Aidil) membawa beberapa bukti contohnya copy (salinan) BBM Massanger (Blackberry Messanger) komunikasi antara dia dengan individu berkenaan.

“Selain itu, dia membawa rakaman suara komunikasi antara mereka dan juga satu video menunjukkan aksi bersama pemimpin berkenaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Ramesh juga mendakwa, Aidil membawa satu Akuan Bersumpah (SD) bertarikh 25 Oktober 2019 yang mendakwa pemimpin berkenaan meliwatnya di Hotel Holiday Villa dan beberapa tempat lain.

“Selepas mengambil semua bahan bukti daripada Aidil, saya meminta dia memberi tempoh beberapa hari untuk berbincang dengan pakar yang mengetahui kes ini.

“Kita tidak mahu kes ini nampak seperti satu penipuan. Jadi saya rujuk kes ini kepada bekas-bekas polis termasuk bekas ketua polis kerana SD berkenaan turut mengaitkan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Aidil mendakwa tujuan utama SD itu dibuat bukanlah untuk polis menyiasat perkara itu sebaliknya hanya untuk memberitahu rakyat Malaysia sikap sebenar pemimpin berkenaan.

Ramesh berkata, apabila SD ini didedahkan, Aidil membuat satu laporan polis bahawa dia tertipu dengan janji saya.

“Saya tidak pernah menjanjikan sebarang bayaran termasuk kononnya mahu membayarnya RM2 juta, ia adalah fitnah dan palsu,” katanya.- Malaysiapost