Tiada istilah ‘lebih Umno’ dalam barisan MPT Bersatu

0
1

BERSATU menyangkal kenyataan bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu, Datuk A Kadir Jasin yang mendakwa barisan kepimpinan baharu MPT kini didominasi bekas pemimpin Umno.

Ahli MPT Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, tiada istilah ‘lebih Umno’ dalam MPT yang baharu kerana mereka dipilih oleh perwakilan dan ahli atas keupayaan serta krebiliti memimpin.

Tambahan pula katanya, selepas empat tahun penubuhan Bersatu, masa sudah berubah dan parti juga perlu berevolusi mengikut keadaan semasa.

“Secara logiknya jika mahu memilih pemimpin mesti kita mahukan mereka yang berkebolehan dan berkelayakan untuk memimpin. Jadi pastinya perwakilan dan ahli Bersatu yang memilih barisan MPT baharu juga mahukan individu berkualiti.

“Sekarang ini Bersatu bukan lagi parti di peringkat penaja seperti awal penubuhan dulu. Maka sampai masanya parti menetapkan hala tuju lebih tuntas dengan dipimpin oleh mereka yang dianggap berwibawa oleh ahli ,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam media melaporkan, A Kadir menyifatkan barisan MPT Bersatu bagi tempoh 2019-2022 kelihatan ‘lebih Umno’ jika dibandingkan sewaktu parti itu mula ditubuhkan dahulu.

Beliau berkata, ia jelas ketara melalui susunan atau kompilasi MPT itu sendiri selepas Bersatu mengadakan pemilihan pucuk pimpinan peringkat nasional pada 22 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Eddin yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata selesai saja pemilihan minggu lalu, semua yang dipilih oleh perwakilan perlu memikirkan cara bagaimana memperkukuhkan lagi Bersatu.

Ini kerana katanya, pemilihan tempoh hari berlangsung dalam suasana kekeluargaan dan kini tiba masanya untuk semua ahli serta memimpin kembali berjuang untuk kesinambungan perjuangan Bersatu.

“Saya mengistilahkan hasil daripada pemilihan penuh kekeluargaan itu, yang menang tidak menang semua dan yang kalah pun takkan hilang semua. Semua masih ada peranan masing-masing dalam memastikan survival Bersatu.

“Semua pemimpin yang terpilih termasuk saya sendiri perlu mencari pendekatan yang sesuai untuk memperkukuhkan parti, menambahkan ahli dan sebagainya,” ujar beliau. -Malaysiapost