YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat hajat bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin di Istana Negara, malam ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua di Surau Utama Istana Negara pada jam 7.30 malam, diiringi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.
Solat sunat hajat dipimpin Penolong Pegawai Agama Istana Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim serta disertai 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai serta petugas istana.
Solat sunat itu dilakukan selepas solat Maghrib berjemaah dan dilaksanakan mengikut garis panduan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat.
Semalam, Al-Sultan Abdullah menitahkan masjid dan surau seluruh negara serta rakyat di kediaman sendiri untuk mengadakan solat sunat hajat termasuk doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin daripada kekejaman rejim Israel. –Malaysiapost


