MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan beliau sedang menjalani kuarantin di rumah susulan kontak rapat daripada seseorang yang disahkan positif Covid-19.
Khairy menerusi ciapannya di Twitter berkata, berikutan itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 10 hari ke atasnya.
“Setelah dikenal pasti kontak rapat kepada kes positif Covid-19, perintah HSO selama 10 hari telah dikeluarkan oleh KKM.
“Bagaimanapun, saringan ujian RT-PCR menunjukkan saya negatif Covid-19.
“Saya akan kemas kini mengenai penyertaan saya sebagai sukarelawan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hujung minggu ini sekiranya ada sebarang perubahan,” katanya yang turut dipakaikan gelang pink.
Justeru, sidang akhbar mingguan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diadakan secara maya. – Malaysiapost

