PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima, Bachok, Kelantan mulai Rabu ini.
Ia susulan terdapat 78 kes positif Covid-19 yang direkodkan di lokaliti itu dalam tempoh 11 hari sehingga hari ini.
Difahamkan, kes itu berpunca daripada penduduk kampung yang mengadakan solat berjemaah dan tadarus di sebuah surau.
Kes itu kemudian menular dan menjangkiti penduduk di perkampungan berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin mengesahkan sebanyak 78 kes yang dicatatkan di kampung itu sejak 7 Mei lalu.
Katanya, kes itu dicatatkan hasil daripada saringan terhadap 238 individu.
“Terdapat dua kematian yang dicatatkan di lokasi itu dan kita masih menyiasat punca kes jangkitan.
“Saya nasihatkan orang ramai supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan Covid-19 daripada menular,” katanya seperti dilapor Harian Metro hari ini.
Dalam pada itu, beliau meminta penduduk kampung yang mempunyai gejala dan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 untuk membuat ujian saringan di lokasi ditetapkan.
Tambahnya, gelombang Covid-19 ini berbeza daripada gelombang pertama di Kelantan kerana kes dalam komuniti semakin banyak dan sentiasa wujud kluster-kluster baharu.
“Kadar kebolehjangkitan juga tinggi di Kelantan dan wujudnya varian baru yang cepat merebak dan lebih agresif,” katanya. -Malaysiapost

