MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tidak mahu isu berkaitan 101 projek rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dipolitikkan.
Jelasnya, beliau selaku individu bertanggungjawab terhadap isu perbendaharaan negara hanya menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Menurutnya, Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 membenarkan rundingan terus, sekali gus tiada sebab untuk perkara itu dipolitikkan.
“Selepas saya menjawab isu itu (di Parlimen), banyak permintaan daripada beberapa pihak (supaya) senarai projek tersebut dikeluarkan.
“Jadi, atas dasar ketelusan, saya buat keputusan untuk keluarkan senarai tersebut dan ia berdasarkan fakta.
“Ia bukan atas sebab siapa yang runding, (atau) bilakah ia ditandatangani. Kalau kita lihat, itu adalah data dan fakta menunjukkan LOA (Surat Anugerah) ditandatangani semasa PH (menjadi kerajaan).
“Jadi, itu sahaja yang ingin saya sebut dan ini tidak perlu dipolitikkan. Ini fakta sahaja,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.
Isnin lalu, Tengku Zafrul memaklumkan kepada sidang Dewan Rakyat berkenaan rekod yang menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng, telah meluluskan 101 projek secara rundingan terus.
Namun, Guan Eng menjelaskan, dalam keadaan tertentu, kaedah perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan kriteria tertentu seperti melibatkan keperluan negara yang mendesak.-Malaysiapost

