Aiman Hanif
UMNO hampir pasti tidak dapat mengadakan pemilihan parti itu Jun depan selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menolak cadangan parti itu untuk mengadakan pemilihan.
Menurut sumber dalaman Umno, bagaimanapun MKN dan KKM belum memberi jawapan secara bertulis kepada parti itu mengenai keputusan berkenaan.
“Ketika pertemuan dengan pihak MKN dan KKM bagi mendapat panduan untuk mengadakan pemilihan Umno baru-baru ini, mereka memaklumkan pemilihan parti tidak boleh diadakan.
“…’No, no, no’ (pemilihan tidak boleh diadakan), kata wakil MKN dan KKM kepada wakil Umno dalam pertemuan itu.
“Disebabkan gelombang ketiga, pihak MKN dan KKM khuatir jika mengadakan pemilihan ia akan menyumbang kepada pertambahan kes positif di negara ini,” katanya kepada Malaysiapost.
Pada Februari lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid memaklumkan semua jawatan dalam Umno termasuk presiden terbuka untuk ditandingi pada pemilihan parti itu tahun ini.
Katanya, beliau mahu menterjemahkan bahawa beliau dan parti terus mengamalkan demokrasi dalam memilih barisan kepemimpinan.
Katanya, Umno pernah menyaksikan dua jawatan tertinggi parti sebelum ini tidak ditandingi di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Umno sepatutnya mengadakan pemilihan parti itu Jun ini.
Bagaimanapun mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini membuat ketetapan untuk mendapatkan pandangan MKN dan KKM bagi mengadakan pemilihan parti
Dalam pada itu, sumber memaklumkan yang MT Umno belum membuat ketetapan bagi menangguhkan pemilihan parti.
Katanya, cadangan itu mungkin dikemukakan apabila Umno menerima keputusan rasmi daripada MKN dan KKM.- Malaysiapost

