PEMUDA Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya serangan pasukan keselamatan Israel ke atas rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa tatkala umat Islam sedang menunaikan ibadah pada minggu akhir Ramadan.
Menerusi kenyataan bersama lima wakil Pemuda PN, mereka menyifatkan tindakan radikal tersebut adalah imperialisme Zionis sekali gus pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan Palestin.
“Tindak balas pemerintah Zionis terhadap protes warga Palestin melalui tindakan ketenteraan yang memusnah dan menghancurkan bangunan dan kediaman serta mengakibatkan pembunuhan terhadap wanita, kanak-kanak serta warga yang tidak berdosa juga adalah suatu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
“Pengeboman dan pembunuhan yang berlaku memperlihatkan sikap ekstremis Zionis untuk melakukan pembersihan etnik demi mengabadikan Israel sebagai sebuah negara apartheid Zionis,” kata kenyataan itu.
Justeru, Pemuda PN bertegas dan tuntas mengambil pendirian dan ketetapan berikut :
- Bersolidariti dengan teguh bersama rakyat dan negara Palestin yang dirobek martabat dan kedaulatan mereka.
- Bersetuju dengan tindakan kerajaan Malaysia yang mengadakan inisiatif bersama kerajaan Republik Indonesia dan kerajaan Brunei Darussalam bagi mengutuk serangan zalim Israel terhadap Palestin serta berkongsi pandangan yang sama supaya komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi menghentikan keganasan rejim Israel dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin.
- Bertegas supaya masyarakat antarabangsa mendesak Israel dan Amerika berlaku jujur dan adil dengan perjanjian untuk menubuhkan negara berdaulat Palestin dengan garis sempadan sebelum tahun 1967.
- Menyeru semua pihak khususnya pimpinan dan organisasi antarabangsa untuk mengecam dan mengutuk sekerasnya penindasan dan penjajahan terhadap Palestin bagi negara apartheid Zionis. Hentikan perang, tindakan ketenteraan serta pembersihan etnik secara serta merta.
- Israel perlu bertanggungjawab di atas pencerobohan dan pembunuhan yang telah berlaku. Justeru, setiap yang bertanggungjawab perlu dihadapkan ke pengadilan International Criminal Court (ICC).
- Menyeru seluruh rakyat Malaysia; individu, persatuan mahupun institusi untuk turut serta dalam kempen #Aid4Palestine yang telah dilancarkan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah. Pemuda Perikatan Nasional akan berperanan untuk menggalang kekuatan serta menjalinkan kerjasama strategik dengan semua pihak bagi menyemarak usaha kempen ini.
Kenyataan bersama tersebut mewakili Khairil Nizam Khirudin (Ketua Pemuda PN); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Ketua Armada Bersatu Nasional); Rizal Johari (Ketua Pemuda Star); Jamain Sarudin (Ketua Pemuda SAPP); Wong Chia Zhen (Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pusat). – Malaysiapost
Foto Kredit: Getty Images

