MAJLIS Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menggesa Kementerian Kewangan mempertimbangkan bantuan tambahan kepada rakyat terutama golongan peniaga dan usahawan Bumiputera susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Felo Kanannya, Ahmad Yazid Othman, berkata MTEM menyokong penuh cadangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) kerana beranggapan apa yang sedang atau telah diberi oleh Kementerian Kewangan memang tidak mencukupi untuk rakyat menghadapi kesan daripada PKP yang terbaharu.
“Saranan melaksana Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada sektor perkilangan – adalah tepat. Kerana di situlah puncanya 48 peratus atau hampir setengah dari keseluruhan penularan.
“Sektor ekonomi lain terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang majoritinya adalah Bumiputera dihukum dengan sekatan keatas aktiviti perniagaan mereka di sebabkan majoriti penularan wabak dari kluster-kluster kilang dan perumahan pekerja-pekerja mereka yang kemungkinan tinggi tidak capai standard dan pematuhan sepenuhnya pada Akta 446 demi mengutamakan keuntungan semata-mata.
“Ini amat tidak patut kerana syarikat yang memiliki kilang-kilang besar itulah yang sebenarnya meraih keuntungan besar atau punyai kapasiti kewangan lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Yazid berkata, sepanjang PKP 1.0 dan 2.0 rakyat telah mengeluarkan wang simpanan masa tua melalui i-Sinar dan i-Lestari berjumlah RM77.8 bilion dan ini secara tidak langsung membantu menopang dan menyokong ekonomi negara dari segi perbelanjaan (consumption).
Beliau berkata, maka sepatutnya tidak menjadi masalah kepada kerajaan untuk memberi pakej bantuan kewangan contohnya Dana Sara Hidup Covid 3.0 berjumlah hanya RM8 bilion untuk enam juta orang yang akan terlibat dengan bantuan sebanyak RM1,200 sebulan.
Katanya, ia juga boleh disalurkan melalui subsidi upah di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mereka yang layak yakni mempunyai upah di bawah RM5,000 yang diremit secara terus pada majikan .
“Jika moratorium enam bulan bermula Jun hingga September 2021 melibatkan semua jenis pinjaman pembankan, peminjam wang berlesen, pinjaman kredit termasuk kad kredit, tidak mampu dilaksanakan, kerajaan mesti pertimbangkan moratarium secara bersasar selama 12 bulan.
“… yang terhad pada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga di bawah RM150,000, nilai hartanah dibawah RM1.5 juta dan semua pinjaman dibawah RM100,000 tanpa kenaikan bunga.
“Sudah tiba kerajaan mendengar suara rakyat demi rakyat dan bukan akur dengan kepentingan pihak Bank atau taksub pada pandangan agensi penarafan antarabangsa. Umum mengetahui bank-bank tidak langsung terjejas malah terus mencatat keuntungan sejak pandemik melanda,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

