AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse bersedia menerima hukuman jika didapati bersalah membuat kunjungan ke sebuah rumah ketika hari pertama sambutan Aidilfitri di Taman Desa Jaya, Ulu Tiram, Johor.
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor yang tidak menafikan dirinya berada di rumah itu seperti ditularkan di media sosial berkata beliau akan memberikan kerjasama penuh kepada polis susulan laporan dibuat terhadapnya.
“Sekiranya hasil siasatan mendapati saya telah langgar undang-undang SOP, saya rela menerima hukuman dan membayar kompaun sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak mengesahkan siasatan terhadap Wee Tse dibuat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.
Jika disabitkan kesalahan, beliau boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Mengulas lanjut, Wee Tse menegaskan bahawa beliau bukan melakukan ziarah raya, sebaliknya memberi sumbangan di sebuah rumah di Ulu Tiram.
“Merujuk kepada laporan polis terhadap saya melanggar SOP hari raya, saya ingin menegaskan saya tidak menafikan saya berada di sebuah rumah di Taman Desa Jaya pada masa insiden tersebut.
“Tetapi tujuan utama saya ke rumah tersebut adalah untuk hantar barang sumbangan kepada wakil Wanita Keadilan untuk diedarkan kepada golongan ibu tunggal dan asnaf dan bukan beraya seperti didakwa,” katanya.-Malaysiapost

