PRN Sabah: Tugas sukar sejak hari pertama – Shafie Apdal

0
3

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menjelaskan beliau berdepan pelbagai cabaran sejak hari pertama memegang tampuk kerajaan negeri.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata beliau diserang bertubi-tubi oleh pembangkang sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan masih berterusan hingga kini.

Jelasnya, Warisan berdepan dengan ramai musuh yang sentiasa berusaha untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya melalui pelbagai cara.

“Musuh Warisan berada di mana-mana dan antaranya ialah (Tan Sri) Musa Aman yang masih bersama Umno, adiknya Anifah dalam Parti Cinta Sabah (PCS) dan anak lelaki Musa, Hafez Yamani serta menantu lelakinya (Datuk) Ariffin Arif dalam parti Bersatu.

“Mereka semua bersatu menentang saya tetapi tidak apalah, saya sudah biasa. Sebelum pilihan raya lalu, saya dimasukkan dalam lokap, tidur atas lantai tanpa tilam dan bantal.

“Setakat ini, belum ada menteri dimasukkan ke lokap, malah tidak juga bekas Perdana Menteri, (Datuk Seri) Najib Razak atau bekas Timbalan Perdana Menteri, (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas kesalahan rasuah,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook beliau.

Mohd Shafie mendedahkan, selepas keluar lokap, beliau didatangi oleh saingan politik yang cuba meyakinkannya kembali kepada Umno.

“Mereka berkata ‘Datuk Seri, masalah you akan berakhir jika kamu membuat pusingan U.

“Tetapi adakah ini jenis perjuangan yang kita mahu? Kita sudah menumbangkan Umno yang menguasai negeri ini lebih 20 tahun dan kini adakah kita mahu lagi berkongsi kuasa dengan mereka?

“Apakah yang kita mahukan? Adakah kita mahukan nilai-nilai perjuangan atau kedudukan? Saya sedar bahawa dengan kedudukan kita boleh membantu rakyat…tetapi sebenarnya, ia tidaklah benar,” katanya.

Beliau juga menjelaskan tiada sesiapa yang boleh memutuskan siapa akan membentuk kerajaan, sama ada Kuala Lumpur (kerajaan Pusat), Umno atau Bersatu.

Sebaliknya, beliau menegaskan hanya rakyat Sabah sendiri layak memilih parti mana yang boleh membentuk kerajaan negeri.

“Pembangkang mempunyai kemampuan untuk menyerang semua yang saya atau pakatan pemerintah Warisan Plus buat di Sabah.

“Dalam pilihan raya lalu, Najib dan Musa pergi ke Semporna dan memberi geran tanah ketika mereka sedang berkempen pilihan raya.

“Tetapi apabila saya memberi geran sebelum pilihan raya, mereka membuat aduan… tetapi tidak apalah,” katanya.

Mengenai pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN), Mohd Shafie berkata, Korea Selatan dan Singapura juga mengadakan pilihan raya ketika pandemik Covid-19 dengan membabitkan ramai orang.

Namun, katanya di Sabah pembangkang mengeluh dan mengadu PRN tidak boleh diadakan berikutan kebimbangan penularan penyakit berkenaan.

“Apa saya buat tidak boleh, apa dia orang buat semua boleh. Namun begitu, saya yakin rakyat Sabah lebih tahu.

“Merujuk kepada cubaan rampasan kuasa politik oleh Musa tidak lama dahulu, saya lebih suka untuk mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka mahu daripada menyerah kalah,” katanya.

Tegasnya, Kuala Lumpur tidak boleh memutuskan siapa yang menjadi kerajaan di Sabah, sebaliknya rakyat memutuskannya.

“Jika kita menang, syukur kepada Tuhan, tetapi jika kalah, kita terima sajalah,” katanya.

Kerajaan negeri pimpinan Warisan dan rakan sekutunya hanya bertahan kira-kira dua tahun sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi menggagalkan cubaan Musa mengambil alih kerajaan pada akhir bulan lalu. – Malaysiapost