TINDAKAN sekumpulan anak muda Batu Pahat yang menunjukkan rasa protes mengangkat kain rentang bertulis “kerajaan gagal” perlu dilihat dalam kerangka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, melalui Perkara 10 (1) berhubung kebebasan bercakap dan berhimpun.
Perkara itu dizahirkan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Omar Mokhtar A Manap dan Exco AMK Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad menerusi kenyataan bersama hari ini.
Kedua-duanya berkata, tindakan kumpulan anak muda terbabit adalah isyarat jelas kekecewaan dan kemarahan rakyat terutama anak muda terhadap kerajaan yang jelas gagal menangani pelbagai isu.
Antaranya kos sara hidup, pengangguran, perniagaan yang terjejas teruk, peningkatan jangkitan wabak Covid-19, undang-undang dan peraturan dua darjat, pendidikan yang
cacamarba dan banyak lagi.
“Luahan kekecewaan, kemarahan serta rasa tidak puas hati rakyat boleh dilihat di media sosial dan siri demonstrasi yang diadakan di hadapan Parlimen dan beberapa lokasi lain termasuklah di Johor Bahru pada Mac lalu.
“Maka amat tidak wajar rakyat yang menggunakan hak mereka sepertimana
terkandung dalam Perlembagaan terus ditekan, diugut mahupun didakwa dengan
pelbagai pertuduhan.
“Sedangkan suara mereka yang sepatutnya disalurkan melalui Ahli Parlimen dan Adun gagal diterjemahkan melalui saluran yang
sepatutnya lantaran penggantungan sidang Parlimen dan Dun,” katanya.
Sehubungan itu, kata mereka, dalam situasi rakyat yang begitu tertekan mutakhir ini, kerajaan wajar mengambil pendekatan lebih lunak dengan mendengar luahan dan aduan
yang ingin mereka sampaikan.
AMK Johor berkata, kerajaan usah terlalu cepat mengambil tindakan kepada rakyat tatkala amalan dua darjat masih berlaku dan gagal ditangani.
“Perikatan Nasional yang dipertikaikan keabsahan ini diingatkan agar tidak begitu
angkuh ketika berdepan dengan rakyat terutama anak muda.
“Janganlah kerana ingin menutup kegagalan dalam pemerintahan, ruang untuk rakyat bersuara ditutup dan disekat,” katanya.
Kedua-duanya berkata tanda pagar Kerajaan Gagal yang dimulakan di media sosial telah mendapat sambutan hangat rakyat Malaysia.
“Sehubungan itu, AMK Johor menyeru agar
kempen #KerajaanGagal ini terus diperhebat sesuai dengan kegagalan berterusan kerajaan PN pada hari ini,” katanya.
Sehingga semalam, kira-kira 20 individu ditahan kerana rusuhan, membakar suar serta menaikkan kain rentang ‘kerajaan gagal’ di Parit Raja, Batu Pahat beberapa hari lalu. – Malaysiapost
Foto Kredit: Facebook/AMK Johor

