Selepas heboh surat mohon sokongan oleh Timbalan Menteri Pertahanan minggu lalu, hari ini tular pula surat mohon sokongan daripada bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Berdasarkan surat yang tular bertarikh 6 Ogos 2019 menggunakan kepala surat Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq memohon peruntukan khas Perdana Menteri sebanyak RM5 juta.
Ia untuk digunakan dalam merencana aktiviti-aktiviti Youth Power Club (YPC).
Kandungan itu surat itu antara lain menyebut YPC telah dijenamakan sebagai satu entiti baharu dalam proses intervensi dan regenerasi dalam pertubuhan belia.
Turut kelihatan nota sokongan dengan tandatangan dipercayai oleh Dr Mahathir menerusi tulisan tangan bertarikh 9 Ogos 2019 iaitu:
“Dikembalikan RM5 million dari dana PMO (Jabatan Perdana Menteri).”
Minggu lalu, media sosial heboh selepas tular surat Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan nota sokongan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
Antara lain, Ikmal Hisham meminta Ismail Sabri untuk menyokong anaknya, Ikmal Hazlan supaya dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga Berhad.



