Warga asing tak boleh turun kapal sepanjang PKP

0
2

SEMUA kru kapal yang berlabuh di pelabuhan dalam Malaysia tidak dibenarkan ‘sign off’ (turun daripada kapal), tidak kira warganegara mereka, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 7 Jun 2021 bagi membendung penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pengecualian hanya diberi kepada warga Malaysia dan mereka diwajibkan kuarantin 14 hari di pusat-pusat kuarantin ditentukan kerajaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketat digariskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, ia diputuskan dalam persidangan televideo bersama Jabatan Laut Malaysia (JLM) dan pihak berkuasa pelabuhan di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT).

Persidangan itu antara lain untuk menyampaikan strategi Majlis Keselamatan Negara (MKN) mencegah varian dari India daripada memasuki Malaysia, 26 April lalu.

Ka Siong berkata, SOP yang ditetapkan KKM dan MKN bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 di pelabuhan seluruh negara juga adalah termasuk :

  • Kapal yang didapati atau disyaki membawa gejala Covid-19 perlu menjalani kuarantin 14 hari setelah semakan ke atas dokumentasi/pemeriksaan ‘Maritime Declaration of Health’ oleh pihak KKM. Mana-mana kapal termasuk dari India tidak perlu dikuarantin di laut selagi mereka mendapat kebenaran daripada KKM untuk berlabuh.
  • Semua pekerja di dermaga PERLU menggunakan peralatan pelindung diri (PPE) diluluskan KKM seperti pelitup muka dan sarung tangan pakai buang semasa bekerja di kapal. Pekerja di pelabuhan yang tidak bekerja di dermaga tidak dibenarkan memasuki kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Malaysia tanpa kelulusan KKM.
  • Semua operasi kargo sama ada di atas dek utama atau ruangan kargo boleh dijalankan oleh pekerja pelabuhan (seperti pekerja lashing dan stevedore) TANPA sebarang interaksi dengan anak-anak kapal.
  • Setiap pengemudi kapal (malim) yang menjalankan operasi/merapat ke dermaga dikehendaki mematuhi SOP ketat yang ditetapkan KKM termasuklah memakai PPE dan pelitup muka.
  • Pengendalian kargo bagi semua kapal asing dari mana-mana negara di seluruh pelabuhan Malaysia adalah dibenarkan bersandarkan kepada SOP yang ditetapkan oleh KKM serta mengikut prosedur operasi dan kebenaran oleh JLM termasuk pihak berkuasa di pelabuhan-pelabuhan yang berkenaan.

Beliau berkata, JLM akan saling berkomunikasi dengan semua pihak berkuasa pelabuhan yang berkaitan mengenai SOP serta apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh semua kapal yang beroperasi di Malaysia.

“Mereka akan saling bekerjasama berhubung aktiviti pertukaran anak kapal, interaksi ship-shore, larangan beroperasi dan lain-lain aktiviti yang berkenaan.

“MOT akan terus memastikan segala SOP pencegahan Covid-19 yang ditetapkan oleh MKN dan KKM dipatuhi tanpa kompromi serta mengetatkan lagi SOP dari semasa ke semasa sekiranya ada keperluan.

“Kami juga komited melakukan penambahbaikan dalam misi MOT untuk memelihara keselamatan serta kelestarian di sektor pengangkutan dan logistik negara,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here