PENGERUSI Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim dikompaun RM2,000 kerana menerima tetamu pada pagi 1 Syawal semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu dikenakan kompaun hari ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkaitan larangan aktiviti ziarah sempena Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad, berkata Dr Azman bersama jirannya dipanggil memberi keterangan selepas kehadiran tetamu itu di kediaman wakil rakyat tersebut tular di Facebook sejak semalam.
Beliau berkata, kedua-duanya hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut kira-kira jam 12 tengah hari tadi dan kompaun RM2,000 setiap seorang dikenakan kerana melanggar SOP ditetapkan.
“Walaupun kita tidak menerima laporan rasmi berhubung kejadian itu namun tindakan diambil berdasarkan pemerhatian dan aduan orang awam di media sosial,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Sebelum ini tular di Facebook menunjukkan kehadiran tetamu di kediaman Dr Azman di Jabi, Besut selepas solat sunat Aidilfitri.
Sementara itu, Dr Azman menerusi hantaran di Facebooknya berkata beliau hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dan menerima surat Tawaran Untuk Mengkompaun Kesalahan.
“YB juga dihukum sebagaimana rakyat biasa dengan kadar tawaran kompaun yang sama. Insya-Allah akan dijelaskan seberapa segera. Tiada siapa yang berada di atas dari undang-undang,” katanya. – Malaysiapost

