AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Jabi, Dr Azman Ibrahim memaklumkan beliau telah menghubungi Ketua Polis Daerah Setiu berhubung kehadiran seorang jiran ke rumah pada pagi 1 Syawal semalam.
Dr Azman yang juga exco kerajaan Terengganu memberitahu, beliau berbuat demikian bagi memberi keterangan kepada polis berhubung perkara tersebut.
“Dengan rendah diri saya mohon supaya kes ini diproses mengikut tatacara prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa tanpa pengecualian.
“Mohon maaf kepada semua pihak yang terpalit kerana isu ini. Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu semalam semalam tular di media sosial berhubung isu berkenaan yang disifatkan melanggar SOP PKP susulan tiada ziarah Aidilfitri yang dibenarkan.
Dalam hantaran berasingan semalam, Dr Azman memaklumkan beliau tidak membuat rumah terbuka seperti didakwa, sebalik mengakui ada seorang dua rakyat hadir ke rumahnya sebagaimana hari biasa atas pelbagai urusan.
“Di sinilah dilema seorang kuli rakyat macam ambe (saya). Tak munasabah kita nak tutup pintu dan kunci kemas kemudian suruh rakyat balik kerana ziarah raya tak dibenarkan sedangkan hari-hari lain dalam tempoh PKP selalu saja rakyat mari rumah.
“Juga tak munasabah rakyat berdekatan mari ke rumah kita tak angkat walaupun segelas air. Musim raya ini adalah juga ketupat sebiji dua walau bukan juadah penuh meja.
“Lainlah kalau YB buat rumah terbuka besar-besaran dengan kehadiran ramai tetamu. Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Selamat hari raya sahabat semua,” katanya. – Malaysiapost

