Agong ajak rakyat elak perbalahan, hidup dalam suasana aman harmoni

0
3

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengajak rakyat supaya tidak melupakan kerukunan hidup bermasyarakat dengan mengelak tutur kata yang menanam benih perbalahan sesama sendiri.

Seri Paduka turut mengajak seluruh umat Islam bersyukur kerana masih dapat menunaikan ibadah pada Ramadan dan dikurniakan pula kesihatan untuk menyambut kedatangan Syawal.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda menyedari rakyat terpaksa akur kepada pelbagai peraturan yang dikuatkuasakan demi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Beta juga melihat dan mendengar keluh kesah sebilangan rakyat yang terkesan dengan pelbagai dugaan yang melanda.

“Sedarlah pelaksanaan norma baharu ini adalah untuk kebaikan dan masa depan kita bersama. Ia menuntut semangat ukhuwah serta kesabaran dari seluruh rakyat Malaysia,” titah Seri Paduka menerusi perutusan sempena Aidilfitri yang akan disambut esok.

Umat Islam di Malaysia sekali lagi tahun ini terpaksa menyambut Aidilfitri dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa semalam sehingga 7 Jun ini.

Pada masa sama, baginda menyeru supaya pengorbanan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama yang bersama memerangi pandemik Covid-19 dihargai.

Al-Sultan Abdullah turut merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), petugas perkhidmatan kesihatan dan semua agensi kerajaan yang diamanah menjaga kesejahteraan, keamanan dan kedaulatan negara.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita menyambut Aidilfitri ini sebagai satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dan dengan penuh rasa kesyukuran.

“Teruskan melangkah ke hadapan dengan menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua peraturan yang digariskan.

“Insya-Allah berkat kesatuan seluruh rakyat Malaysia, beta yakin negara akan berupaya untuk membendung penularan pandemik Covid-19,” titah baginda.

Baginda bertitah saban tahun Aidilfitri disambut dengan kegembiraan merentasi agama dan bangsa, manakala anak rantau akan pulang ke kampung halaman untuk ziarah menziarahi, di samping menikmati juadah tradisi.

“Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang, Allah Subhanahu Wata’ala menentukan segala-galanya.

“Dalam ikhtiar memerangi pandemik Covid-19, Aidilfitri pada tahun ini disambut dalam suasana berbeza dari kelazimannya,” titah Al-Sultan Abdullah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mendoakan agar rakyat dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah serta dijauhi daripada musibah dan bencana. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here