RAKYAT Malaysia dihadiahkan panggilan telefon bimbit percuma ke semua rangkaian dalam negara selama 12 jam bermula jam 10 malam ini.
Berita baik itu diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ia sebagai tindakan prihatin syarikat telekomunikasi tempatan yang bersimpati dengan rakyat kerana terpaksa berhari raya dalam suasana norma baharu tahun ini dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telah bersepakat menyediakan panggilan percuma ke semua rangkaian dalam negara mulai 10 malam 12 Mei hingga 10 pagi pada 13 Mei iaitu hari pertama Aidilfitri.
“Kemudahan yang digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini dapat dinikmati semua pelanggan perkhidmatan Celcom, Digi, Maxis, REDtone, TM Unifi, TIME dotCom, Tune Talk, U Mobile, Yoodo, dan YES,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Saifuddin, setiap penyedia perkhidmatan akan memberikan tawaran panggilan percuma ini tertakluk kepada terma dan syarat masing-masing.
“Para pelanggan dinasihati menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing bagi sebarang pertanyaan tentang tawaran perkhidmatan ini.
“Saya berharap kemudahan ini sedikit sebanyak membantu rakyat untuk terus saling berhubung dan mengeratkan silaturahim dengan keluarga tersayang serta rakan taulan.
“Walaupun aktiviti ziarah dan kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan di bawah PKP yang berkuat kuasa mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021,” katanya.
Beliau juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada syarikat telekomunikasi dan rakyat yang memberi kerjasama dalam pematuhan PKP kali ini demi mengekang jangkitan Covid-19.
“Sama-sama kita berdoa agar lengkuk pandemik ini dapat dilandaikan dengan pengorbanan dan usaha semua pihak. Insya-Allah kita semua akan dapat meneruskan kehidupan dan kelangsungan hidup, untuk masa depan yang lebih baik,” katanya. – Malaysiapost

