Sabah benarkan ziarah Aidilfitri, kubur

0
3

UMAT Islam di Sabah diizinkan solat sunat Aidilfitri mengikut kapasiti masjid atau surau dan turut dibenarkan melakukan aktiviti ziarah dari raya pertama hingga ketiga dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Kebenaran itu dijelaskan dalam ketetapan baharu prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi seluruh negeri bermula hari ini hingga 7 Jun depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata solat sunat Aidilfitri dibenarkan dengan penjarakan fizikal satu meter, manakala masjid dan surau dilarang memasang khemah tambahan dan menggunakan tempat letak kereta untuk dijadikan ruang solat bagi menampung lebih ramai jemaah.

Menurutnya, kehadiran jemaah kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan golongan berisiko juga dilarang serta menyarankan jemaah wanita tidak mengikuti aktiviti solat sunat Aidilfitri.

“Kerajaan negeri hanya membenarkan kehadiran jemaah mengikut kapasiti sedia ada masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.

“Bacaan khutbah solat sunat Aidilfitri juga hanya dibenarkan selama 15 minit, manakala takbir Aidilfitri dibuat di masjid dan surau selepas solat Isyak (malam ini) dan solat Subuh (esok),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Masidi yang juga Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berkata, ziarah Aidilfitri di Sabah dibenarkan pada hari pertama hingga ketiga dalam kalangan ahli keluarga terdekat dengan kehadiran tidak melebihi 10 orang.

Katanya, aktiviti ziarah juga hanya dibenar dalam lingkungan daerah sama, selain tertakluk kepada kapasiti rumah dengan setiap 10 tetamu dihadkan selama dua jam, bermula jam 9 pagi hingga jam 9 malam.

“Tuan rumah diwajibkan menyediakan kod imbas MySejahtera dan mematuhi protokol kesihatan umum yang ditetapkan,” katanya.

Bagi ziarah tanah kubur, katanya kerajaan negeri hanya membenarkan enam orang dalam sebuah keluarga menziarahi satu lot kubur terhad selama 45 minit, manakala pengurusan tanah perkuburan diarah mengawal keluar masuk orang berziarah dan menyediakan kod QR MySejahtera.

Dalam pada itu, Masidi berkata, larangan merentas daerah di Sabah yang dikuatkuasakan sejak kelmarin hanya dilaksanakan sehingga 16 Mei ini, sebelum kembali kepada larangan rentas mengikut zon bermula 17 Mei sehingga 7 Jun depan seperti sebelum ini.

Sepanjang tempoh itu, katanya kerajaan negeri melarang penganjuran majlis sosial seperti kenduri, perkahwinan dan pertunangan, doa selamat dan tahlil, majlis makan malam dan sambutan hari jadi, selain seminar, persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

“Bagaimanapun, majlis akad nikah dibenarkan dengan kehadiran dan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri bagi orang Islam dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi bukan Islam,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai larangan dan SOP terkini sambutan Aidilfitri serta SOP PKPB terkini bagi negeri Sabah, katanya boleh disemak melalui laman rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here