PASTINYA, tiada seorang suami mahupun ayah sanggup membiarkan isteri dan anaknya tinggal di sebuah pondok yang bukan sahaja serba daif tetapi terletak di dalam hutan.
Namun akibat kekangan kewangan dan kos sara hidup yang tinggi serta pandemik Covid-19 yang melanda, menyebabkan seorang lelaki Nizam, 47 nekad mendirikan sebuah pondok kecil untuk didiami keluarga kecilnya.
Keluarga ini di santuni pihak Baitumal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) semalam yang melihat sendiri kedaifan mereka yang hidup serba kekurangan.
Menurut MAWIP, kesusahan keluarga itu bermula apabila mereka diminta keluar enam bulan lalu daripada bilik sewa yang juga berada berdekatan dengan hutan yang mereka huni sekarang.
“Kami melihat keadaan pondok tersebut tidak selamat buat keluarga ini memandangkan ianya berada di tebing bukit selain tiada kemudahan bekalan elektrik.
“En Nizam yang hanya mengambil upah bekerja sebagai tukang kayu memberitahu mereka sering berhadapan dengan masalah terputus belanja,” menurut perkongsian di Facebook Baitumal MAWIP hari ini.
Menurut MAWIP, apa yang lebih membimbangkan adalah isteri Nizam kini sedang sarat mengandung tujuh bulan dan akan bersalin bila-bila masa sahaja sedangkan tiada persediaan yang dibuat.
“Kami akan berkongsi maklumat dan masalah keluarga ini dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) memandangkan lokasi tempat tersebut berada di jajahan negeri Selangor.
“Kami juga sempat menyampaikan sedikit sumbangan barang keperluan dapur dan juga wang tunai buat kegunaan keluarga ini sementara waktu,” katanya. – Malaysiapost

